Ikea menarik balik bebola daging yang dijual di restorannya berikutan dakwaan produk terbabit dicemari daging kuda.

Arahan ini melibatkan gedung Ikea di sebanyak 16 negara Eropah, susulan penemuan DNA kuda oleh pihak berkuasa Republik Czech pada Isnin.

Beg bebola daging beku telah dikeluarkan dari gedung di Slovakia, Republik Czech, Hungary, Britain, Portugal, Itali, Belanda, Belgium, Sepanyol, Cyprus, Greece dan Ireland.

Gedung di Sweden, Denmark, Perancis dan Romania pula mengeluarkan produk tersebut sebagai langkah keselamatan tetapi Ikea menegaskan bahawa tiada daging kuda di dalam bebola daging yang di gedungnya di Amerika Syarikat.

Bebola daging Ikea yang dijual di hampir seluruh negara Eropah, dibekalkan oleh satu syarikat yang berpangkalan di Sweden.

“Kami mengambil perkara ini dengan serius,” jelas jurucakap syarikat tersebut Ylva Magnusson kepada AFP.

Ikea merupakan syarikat terbaharu yang terlibat dalam skandal daging kuda didalam produknya. Isu DNA daging kuda pernah timbul di dalam burger daging lembu di Britain dan Ireland sebelum ini.

Menurut laporan AFP, Nestle membuat kenyataan pada Isnin bahawa mereka telah berhenti menggunakan khidmat pembekal dari Sepanyol apabila ujian mendapati terdapat DNA daging kuda dalam produk daging lembu.

Ikea pula, dalam satu kenyataan, berkata: “Kita telah dimaklumkan bahawa bebola daging mungkin mempunyai daging kuda berdasarkan ujian yang dijalankan di Republik Czech.”

“Ujian yang dilakukan oleh pihak kami tidak menunjukkan sebarang daging kuda. Namun kita akan membuat ujian susulan.”

Agensi Makanan Kebangsaan Sweden telah dimaklumkan mengenai ujian yang dilakukan oleh syarikat yang mengeluarkan bebola daging yang dijual oleh Ikea di kebanyakan negara Eropah.

Minggu lalu, Tesco di Republik Czech diarahkan untuk mengeluarkan produk lasagne daging lembu beku dari kedainya kerana dipercayai mempunyai daging kuda. Produk tersebut dikeluarkan oleh Tavola, sebuah syarikat di Luxembourg dan diimport oleh Nowaco.