Berita  | Dunia

Kanak-kanak 11 tahun maut selepas gosok gigi... Apa yang jadi penyebabnya?

Kanak-kanak 11 tahun maut selepas gosok gigi... Apa yang jadi penyebabnya?
Ibu bapa perlu berhati-hati dalam memilih label dan kandungan dalam apa juga produk sekiranya anak mereka mengidap alahan.
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia selepas mengalami tindak balas protein susu di dalam ubat gigi, baru-baru ini di California, Amerika Syarikat.

Denise Saldate menerima ubat gigi khas itu bagi menguatkan struktur enamel gigi selepas didiagnos mempunyai alahan dengan produk tenusu sejak berusia setahun, lapor Mirror.co.uk.

Ibunya, Monique Altamirano berkata, biarpun sering berhati-hati dalam memilih produk ubat gigi untuk anaknya, dia mengakui tidak pernah melihat mana-mana produk itu yang mengandungi bahan tenusu.

“Saya tidak melihat kandungan dalam ubat gigi itu pada awalnya. Dia kelihatan teruja menggosok gigi menggunakan ubat gigi itu,” katanya dalam satu temubual bersama Allergic Living baru-baru ini.

Semasa kejadian, anak bongsu itu sedang menggosok gigi bersama kakaknya berusia 15 tahun di dalam bilik air.

“Saldate mula menangis dan berlari ke arah saya. Katanya dia mengalami alahan dengan ubat gigi. Bibirnya bertukar menjadi biru.

“Saya terus mendukungnya dan baringkan di atas katil. Saya menyuruh anak saya menghubungi talian kecemasan sementara saya mengambil suntikan epinefrin,” katanya.

Suntikan dan inhaler asma yang diberikan tidak mengubah keadaan Saldate termasuk bantuan awal kecemasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Hasil kajian mendapati ubat gigi berkenaan mengandungi bahan recaldent. Recaldent adalah mineral yang mengandungi protein diperolehi daripada susu khas untuk pembentukan ion kalsium.

“Ibu bapa di luar sana tolong berhati-hati dalam memilih dan memeriksa label dan juga kandungan dalam apa juga produk sekiranya anak anda mengidap alahan,” jelasnya.


Tag: ubat gigi, meninggal dunia, alahan, protein susu, kanak-kanak, california, Amerika Syarikat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.