'Kelumpuhan' atau penutupan pentadbiran Amerika Syarikat dijangka mempunyai kesan langsung terhadap rakyat Malaysia yang kini sama ada sedang bekerja, belajar atau mempunyai urusan tertentu dengan negara itu, kata Felo Hubert H Humphrey, Yusmadi Yusoff.

Selain itu, katanya lagi, ia juga akan memberi impak tertentu kepada negara ekoran hubungan rapat dua hala dalam aspek perdagangan, ketenteraan dan sosial.

“Kita perlu ikuti perkembangan ini dengan lebih lanjut. Dan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) harus menggesa Duta Malaysia ke Washington (Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique), dan juga para pegawai tadbir diplomatik di sana untuk beri perhatian khusus kepada perkembangan perkara itu,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.


Awal hari ini, pentadbiran Amerika Syarikat dilaporkan telah memulakan penutupan pentadbiran persekutuan selepas Majlis Senat gagal mencapai kata sepakat mengenai bajet terbaharu negara itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J Trump melalui akaun Twitternya berkata, situasi itu bakal memberi impak buruk kepada sektor ketenteraan serta keselamatan negara itu, terutamanya bagi memastikan aset ketenteraan terus beroperasi di negara konflik di Asia Barat.

Mengulas lanjut, Yusmadi berkata, selain Timur Tengah, ia juga bakal memberikan kesan di rantau Asia Tenggara, ekoran keaktifan Amerika Syarikat dan China merencanakan usaha ketenteraan mereka di kawasan tersebut.

“Ia bukan isu Amerika mampu (mengeluarkan dana) atau tidak, tetapi ia lebih kepada ketidakstabilan dalam menggerakkan aset keselamatan, apatah lagi dengan keadaan di mana gejala keganasan ekstrem timbul semula di persada isu keselamatan dunia,” katanya lagi.