Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bakal membuat lawatan rasmi ke Malaysia dengan kemungkinan untuk mendapatkan bantuan kewangan supaya negara itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Memetik laporan portal The Indian Express, ini merupakan kunjungan dua hala pertama bagi Imran ke Malaysia selama dua hari, bermula esok.

Berdasarkan kenyataan rasmi Pejabat Luar Pakistan, kedua-dua negara menikmati hubungan baik atas dasar persahabatan dan pemahaman yang dikukuhkan dengan budaya dan pertalian agama.

"Lawatan kali ini akan memberi peluang mengukuhkan hubungan dua hala dengan hubungan ekonomi, perdagangan dan komersial," kata kenyataan itu.

Ketika ini, Pakistan sedang berdepan jurang kewangan AS$12 bilion bagi tahun fiskal semasa dan mahu melihat bagaimana jumlah pinjaman dari IMF dapat dikurangkan.

Kerajaan Pakistan juga sedang berusaha mendapatkan pinjaman dari negara-negara lain seperti Arab Saudi dan China.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim telah bertemu dengan Menteri Luar Pakistan, Makhdom Shah Mahmodd Qureshi dan berbincang mengenai pelbagai isu serta menyuarakan keyakinan terhadap perhubungan baik Malaysia dan Pakistan.