Pihak polis Poland telah mengarahkan 13 pusat permainan pagar sesat atau 'Escape Room' ditutup kerana isu keselamatan.

Arahan itu dikeluarkan selepas lima remaja perempuan terbunuh dalam satu kebakaran.

Menurut pegawai bomba, Leszek Suski, bilik permainan Escape Room itu tidak mempunyai sebarang penanda arah keselamatan.

Pegawai bomba menjumpai mayat kelima-lima gadis tersebut selepas mereka memadam api di bilik tersebut.

Laporan bedah siasat menunjukkan kesemua mangsa meninggal dunia akibat daripada penyedutan karbon monoksida.

Menurut laporan News.com.au, lebih daripada 200 bilik daripada 1,100 permainan pagar sesat di Poland telah diperiksa dan mendedahkan terdapat beberapa kelemahan keselamatan yang perlu segera diperbaiki.

Kesemua mangsa yang berusia 15 tahun itu dikatakan sedang menyambut ulang tahun kelahiran sebelum maut kerana terkunci di dalam bilik Escape Room pada Jumaat.

Permainan yang dianggap sebagai cabaran intelektual ini juga dikhabarkan sangat popular di kalangan remaja di Poland.

Ia memerlukan pemain dikunci di dalam satu bilik dan perlu menyelesaikan beberapa teka-teki sebelum mereka boleh keluar dari bilik tersebut.