Empat lelaki berdepan hukuman penjara atas kesalahan menangkap tiga ekor beruang madu dan memasaknya menjadi rendang.

Menurut laporan BBC Indonesia, keempat-empat lelaki berkenaan telah memasang lebih 50 jerat pada 18 Mac lalu untuk menangkap khinzir.

Namun, selepas 12 hari, mereka menemui seekor beruang madu yang terjerat.

"Ketika itu, ia masih hidup lalu saya menombaknya dan rakan saya yang lain memukulnya dengan kayu hingga ia tidak bergerak lagi," kata salah seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Zds.

Kali kedua mereka memasang jerat pada 1 April, mereka mendapati dua ekor beruang madu terjerat.

Ia dimasukkan ke dalam kandang sebelum ditembak mati menggunakan senapang angin.

"Dagingnya kami makan dengan dimasak rendang," katanya.

Selain dimasak menjadi rendang, empedu beruang itu dijadikan ubat tradisional untuk merawat sesak nafas.

Mereka ditangkap selepas polis dan pegawai Agensi Pemuliharaan Sumber Alam Riau (BBKSDA) mendapat tahu perkara itu di media sosial.

Ia ekoran salah seorang daripada mereka telah memuat naik video menunjukkan perbuatan menyiat kulit beruang dan kemudian memasaknya di Facebook.

Keempat lelaki berkenaan mendakwa tidak sedar bahawa beruang madu haiwan dilindungi sepenuhnya. - Gambar BBC Indonesia

Keempat-empat mereka mendakwa tidak mengetahui bahawa beruang madu merupakan spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya bukan sahaja di Indonesia, tetapi seluruh dunia.

Kesemua suspek berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda 100 juta rupiah (RM27,000) mengikut Undang-undang Pemuliharaan Sumber Asli Indonesia dan Ekosistem (1990).

Beruang madu (Helarctos malayanus) adalah spesies beruang terkecil di dunia dan diklasifikasikan sebagai spesies terancam.