Pemuda PAS Perak hari ini mengajak rakyat negeri itu agar mendoakan keselamatan umat Islam dan rakyat Palestin yang kini sedang diserang oleh Tentera rejim Israel (IOF) sejak seminggu yang lalu.

“Kami mencadangkan kepada seluruh Masjid dan Surau di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) agar mendoakan buat rakyat Palestin dengan ‘Qunut Nazilah’ agar kekejaman rejim Israel dibalas kembali akhirnya,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan.

PAS juga mencadangkan agar Kuthbah Jumaat pada esok mengecam keras kekejam rejim Israel selain mengadakan Solat Hajat untuk rakyat Palestin.

“Rakyat Perak perlu menyatakan bantahan terhadap pembunuhan kejam ‘berlesen’ oleh rejim Israel dalam tempoh umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini,” kata kenyataan itu lagi.

Sehingga kini dilaporkan lebih 50 orang terbunuh dan beribu rakyat Palestin tercedera akibat serangan yang dilakukan dalam tempoh tersebut.