KETIKA kejadian tsunami melanda bandar Aceh, Armilla Yanti baru sahaja dalam perjalanan pulang daripada sebuah pasar bersama keluarganya.

Dia dan ibu bapanya terselamat, namun dua lagi adik perempuannya terbunuh dalam peristiwa yang dianggap paling malang itu, pada tanggal 26 Disember 2004.

Setelah lima belas tahun berlalu, dia yang kini bertugas sebagai pemandu pelancong di Muzium Tsunami Aceh, sering menceritakan pengalaman hitam yang dilaluinya itu kepada para pengunjung muzium.

Menurutnya, walaupun pengalamannya agak perih untuk diluahkan, dia berharap agar kisahnya itu mampu dijadikan iktibar serta mendidik para pengunjung muzium berkenaan tentang kepentingan sistem amaran penggera kecemasan serta kepentingan berlindung di kawasan tinggi jika berlakunya gempa bumi.

Armilla Yanti mahu menyampaikan sebanyak mungkin pengetahuan tentang cara menghadapi bencana alam kepada pengunjung muzium dan masyarakat sekelilingnya. - Reuters

“Sejak saya merasai sendiri trauma daripada kejadian itu, saya berniat untuk menceritakan pengalaman saya kepada para pengunjung supaya mereka tidak pernah lupa tentang kejadian tsunami yang pernah mencetuskan kemusnahan besar,” kata wanita berusia 44 tahun itu.

Jelasnya, muzium tempatnya bekerja itu dibina bagi memperingati sejarah hitam berkenaan, selain berfungsi sebagai pusat penerangan dan juga pusat perlindungan bencana.

Mengimbas peristiwa malang itu, lebih 230,000 orang terbunuh di beberapa buah negara yang menerima impak bencana berkenaan termasuk Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand.

Dengan gegaran 9.1 magnitud, bandar Aceh juga menerima gelombang tsunami setinggi 17.4 meter sehingga membadai hampir keseluruhan bandar berkenaan.

Mundiyah Sahan berdiri di bawah sebuah bot besar yang dihanyut arus dan hingga kini tersadai di atas sebuah bangunan. - Reuters

Di daerah utara Aceh sahaja, 128,858 dilaporkan maut manakala 37,087 lagi mangsa dilaporkan hilang, menurut data yang dikumpulkan oleh kerajaan serta agensi keselamatan.

Menurut penjual cenderamata, Mundiyah Sahan, 70 tahun, ramai kehilangan nyawa hanya kerana mereka tidak didedahkan dan dididik tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan sekiranya mereka berdepan bencana.

“Sebab itulah saya sering menceritakan peristiwa itu kepada generasi muda yang tinggal di kawasan pesisiran pantai seperti kami,” ujarnya.

Malah, pihak berkuasa tempatan juga sentiasa meletakkan usaha yang tinggi dalam mendidik masyarakat berkenaan situasi tsunami.

Hampir kesemua kampung di daerah Aceh kini memiliki sebuah bangunan atau rumah yang rosak akibat tsunami, sebagai peringatan kepada orang awam terhadap ombak besar yang meragut banyak nyawa itu.

Para pengunjung boleh melihat sendiri kesan bencana yang dipamerkan di Muzium Tsunami Aceh serta menghayati sejarah hitam itu.

Selain itu, lebih 25,600 bangunan kini turut diletakkan di dalam 'zon merah', iaitu dianggap sebagai bangunan-bangunan yang berkemungkinan terdedah dengan tsunami, gempa bumi dan banjir besar, kata Agensi Perumahan Awam dan Majlis Perbandaran Aceh.

Di muzium itu, seorang kanak-kanak dari Tadika Bima al Farizi tidak teragak-agak untuk menjawab soalan berkenaan langkah yang perlu dilakukannya, sekiranya berlaku gempa bumi dan bencana tsunami sekali lagi.

“Kita perlu lari ke kawasan yang bertanah tinggi,” katanya.