Penjenayah perang Slobodan Praljak yang nekad meminum sejenis cecair ketika perbicaraan terhadapnya berlangsung disahkan meninggal dunia akibat keracunan sianida.

Pendakwa raya Belanda berkata Praljak meminum racun tersebut di hadapan hakim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini selepas hukuman penjara 20 tahun ke atasnya dikekalkan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, ujian darah Praljak positif bahan kimia kalium sianida.

Tambah kenyataan itu lagi, bahan kimia ini telah menyebabkan kegagalan jantung yang dipercayai punca kematiannya.

Rabu lepas, bekas komander tentera Croat Bosnia itu minum daripada sebuah botol kecil sebelum menjerit “Saya bukan penjenayah perang. Saya menentang keputusan ini.”

Tindakannya itu, yang disiar melalui satu rakaman video, memaksa Hakim Carmel Aguis mengisytiharkan dewan perbicaraan itu sebagai lokasi kejadian jenayah.

Praljak dihukum penjara pada 2013 ekoran keganasan di bandar Mostar ketika perang Bosnia yang berlaku dari tahun 1992 hingga 1995.

Dia antara enam bekas pemimpin dan ketua tentera Croat Bosnia yang dihadapkan ke Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY).

Kesemua mereka sedang menghadiri keputusan rayuan terakhir oleh mahkamah tersebut.