Sebuah pesawat persendirian Turki terhempas di kawasan pergunungan Iran, dekat bandar Shahr-e Kord, membunuh semua 11 penumpangnya.

Pesawat tersebut difahamkan dalam perjalanan dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Istanbul.

Ia membawa lapan penumpang dan tiga anak kapal.

Perkhidmatan kecemasan Iran, memaklumkan pesawat jenis Bombardier CL604 itu dipercayai terbang dalam cuaca buruk, terhempas dan terbakar.

"Kami mengesahkan pesawat berkenaan hilang dari radar, ketika melalui ruang udara kami dan terhempas berhampiran Shahr-e Kord," menurut jurucakap Organisasi Penerbangan Awam Iran dalam satu kenyataan.

Pesawat itu milik firma jutawan Turki Huseyin Basaran.

Usaha mengeluarkan mangsa dilaporkan sukar kerana lokasi nahas terletak di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, penduduk tempatan memaklumkan, tiada mangsa terselamat ditemui dan sebahagian besar mayat mangsa rentung.