Sebuah forum bagi membincangkan sama ada beberapa jeneral tentera tertinggi Myanmar harus dibawa ke muka pengadilan atas dakwaan melakukan jenayah perang, dihentikan secara tiba-tiba oleh pihak berkuasa Thailand, malam tadi.

Pihak berkuasa tidak memberikan penjelasan berhubung pembatalan forum itu, beberapa minit sebelum forum yang dianjurkan Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) itu bermula pada 7 malam (waktu tempatan).

Menurut kakitangan FCCT, pihak berkuasa menghubungi kelab tersebut kira-kira 5 petang semalam mengarahkan beliau membatalkan program tersebut, namun penganjur enggan berganjak daripada keputusan itu.

Sejumlah anggota polis berpakaian seragam dan awam kemudian tiba di kelab tersebut, sebelum forum berkenaan bermula dan secara paksa menghalang program kontroversi itu daripada dijalankan, menurut kakitangan terbabit.

Forum bertajuk "Will Myanmar's General Ever Face Justice For International Crimes" akan memberi perhatian terhadap beberapa jeneral tertinggi negara berkenaan termasuk Ketua Komander Kanan Jeneral Min Aung Hlaing yang didakwa melakukan genosid dan jenayah perang di utara negeri Rakhine, Kachin dan Shan.

Gesaan supaya pendakwaan dilakukan terhadap mereka dibuat susulan satu laporan daripada Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas di Myanmar (FFM) yang dikeluarkan pada 27 Ogos lepas.

BACA: Bangladesh gesa tekanan atas Myanmar hantar pulang pelarian Rohingya

BACA: Kerajaan Myanmar berhenti melayan media


Laporan lengkap FFM itu akan dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Sept ini.

Forum itu membariskan tiga anggota panel termasuk Kobsak Chutikul, bekas duta Thailand yang pada awal tahun ini, meletak jawatan sebagai perunding kanal panel penasihat antarabangsa Myanmar mengenai krisis Rohingya.

Dua lagi anggota panel ialah Presiden Kumpulan Aktivis Organisasi Rohingya di United Kingdom, Tun Khin dan penasihat kanan undang-undang antarabangsa di Suruhanjaya Juri Antarabangsa, Kingsley Abbot.

BACA: Facebook ambil tindakan hapus akaun pegawai tentera tertinggi Myanmar

BACA: Laporan Rohingya: Enam jeneral perlu disiasat - PBB

Walaupun didakwa melakukan genosid dan jenayah perang terutama ke atas masyarakat Rohingya di Myanmar dan etnik minoriti lain di negara berkenaan, kerajaan tentera Thailand mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan Yangon.

Pada Februari tahun ini, Bangkok mengurniakan Aung Hlaing yang melawat negara berkenaan dengan anugerah diraja, satu tindakan yang dikecam organisasi hak asasi manusia.

-- BERNAMA