Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata Israel dan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab di atas kebuntuan proses damai di Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan agensi berita Palestin WAFA.

"Langkah-langkah serta polisi tidak adil Israel dan AS adalah punca utama usaha ke arah proses damai menemui jalan buntu,'' katanya ketika bertemu Menteri Luar Maghribi Nasser Bourita, yang sedang dalam rangka lawatan ke Palestin, di Ramallah pada Selasa.

Abbas menekankan kepentingan penganjuran persidangan damai antarabangsa bagi mewujudkan satu mekanisme untuk menyelesaikan isu Palestin berdasarkan resolusi antarabangsa, dan menubuhkan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Bourita diberi taklimat mengenai perkembangan terkini di wilayah-wilayah Palestin serta proses damai yang telah terhenti susulan polisi Israel dan AS.

Abbas mengulangi kepentingan pendirian dunia Arab dalam menyokong penduduk Palestin yang berpegang teguh kepada hak-hak mereka yang sah dan membantah perencanaan serta ancaman untuk menghapuskan isu Palestin.

Sementara itu, Bourita menegaskan kepentingan lawatannya ke wilayah-wilayah Palestin bagi menzahirkan sokongan dan solidariti Maghribi kepada penduduk Palestin.

Beliau memberitahu Abbas bahawa Raja Mohamed ke-6 "amat prihatin dengan isu Baitulmaqdis'' dan sentiasa berminat untuk menjalin kerjasama dengan Abbas dalam isu ini atau isu lain yang berkaitan dengan Palestin.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) mengumumkan bahawa ia telah bersetuju dengan Maghribi untuk membentuk satu jawatankuasa bersama peringkat menteri yang akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri PNA bagi Hal Ehwal Luar Reyad al-Malki memaklumkan satu persidangan bersama dengan Bourita bahawa pembentukan jawatankuasa bersama "ialah untuk menzahirkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara."

-- BERNAMA