Berita  | Dunia

Rahaf murtad demi perlindungan suaka?

Rahaf murtad demi perlindungan suaka?
Rahaf tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson pada 12 Januari 2019. - Foto Reuters/Carlos Osorio
REMAJA perempuan Arab Saudi Rahaf Mohammed al-Qunan, 18 tahun yang kini sah sebagai rakyat Kanada selepas diberikan suaka telah mengaku murtad.

BBC yang memetik kenyataan Rahaf sebagai berkata, dia telah mengumumkan keluar daripada Islam.

Pengumuman mengenai pemberian suaka kepada Rahaf dibuat Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland sejuruh menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson.

"Saya dengan ini, ingin mengumumkan Rahaf sebagai rakyat terbaharu Kanada yang berani. Dia sangat berani dan telah menghadapi pelbagai masalah. Dia kini akan pulang ke rumah baharunya,"

"Ini memenuhi aspirasi dan perjuangan Kanada selama ini, iaitu mempertahankan hak asasi manusia dan wanita di seluruh dunia," tambah menteri itu.

Kisah pelarian Rahaf dari Arab Saudi menarik perhatian dunia bermula dengan tindakannya cuba melarikan diri ke Australia dari Bangkok.

Pada mulanya Rahaf diarah kembali ke Kuwait bersama keluarganya, namun dia enggan berbuat demikian dan kemudian mengunci diri dalam bilik hotelnya.

Tindakannya itu mendapat perhatian netizen dan kempen #SaveRahaf terus dilancarkan lalu tular di media sosial.



Sebelum ini Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memberitahu negara itu telah bersetuju dengan permintaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk memberi perlindungan suaka.

"Kanada akan sentiasa mempertahankan hak asasi manusia dan hak wanita di seluruh dunia," katanya.


Bagaimana Rahaf sampai ke Kanada?

Rahaf tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson dengan menaiki pesawat Korean Air dari Seoul pada Sabtu.

Dia telah memuat naik beberapa keping foto di akaun Twitter miliknya sejurus selepas menaiki pesawat tersebut dengan kata-kata, "Saya berjaya lakukannya!"



Kenapa Rahaf melarikan diri?

Rahaf memberitahu portal berita Britain BBC dia takut keluarganya akan membunuhnya.

"Saya tidak dibenarkan belajar atau bekerja di negara saya, jadi saya mahu bebas belajar dan bekerja," kata Rahaf.

Dalam satu temubual bersama agensi media AFP, Rahaf berkata dia didera secara fisikal dan mental oleh keluarganya.

Dia juga pernah dikunci di dalam biliknya selama enam bulan hanya kerana memotong rambut.



Bagaimana Rahaf sampai di Bangkok?

Ketika berada di Kuwait bersama keluarganya, Rahaf melarikan diri ke Bangkok, dengan rancangan untuk menaiki sebuah pesawat lain ke Australia.

Rahaf memiliki visa untuk memasuki Australia.

Namun pasport miliknya dirampas oleh pegawai diplomatik Arab Saudi yang tiba lapangan terbang Bangkok itu.

Tanpa pasport, Rahaf terkandas di lapangan terbang tersebut.

Namun ia dikembalikan selepas seorang utusan khas Arab Saudi berkata kerajaan negara itu enggan masuk campur dalam hal ini.

Pihak berkuasa Thailand menyifatkan kes ini sebagai 'masalah keluarga' dan bersedia untuk menghantar Rahaf pulang ke pangkuan keluarganya di Kuwait.

Ini memaksa Rahaf untuk meminta pertolongan menerusi beberapa tweet yang dimuat naik dari bilik hotelnya, dan kemudian mendapat perhatian agensi kemanusiaan Human Rights Watch.

Thailand kemudian beri Rahaf kebenaran untuk berada di Bangkok sementara agensi Bangsa-bangsa Bersatu itu mengkaji kesnya bagi meminta perlindungan suaka.