PENTADBIR bandar raya Moscow tegas menggunakan kamera berkeupayaan 'jejak wajah’ memantau pergerakkan pengingkar kalangan orang awam yang dikenakan perintah kuarantin.

Setakat ini, 200 individu berjaya ditahan kerana melanggar perintah kuarantin 14 hari bermula Februari.

Mereka yang bersalah menghadapi hukuman jel lima tahun.

Dengan penduduk berjumlah 16 juta, Moscow hanya mengenakan perintah kuarantin terhadap warga Rusia dan pelawat yang positif COVID-19 atau yang tiba dari negara yang sedang dilanda virus korona.

Perintah kuarantin juga dikenakan jika seseorang itu menunjukkan sebarang gejala atau dikhuatiri terkena jangkitan penyakit COVID-19.

Sejak sedekad lalu, satu rangkaian 170,000 kamera litar tertutup sudah dipasang di lokasi strategik seperti stesen metro dan jalan raya.

Usaha meningkatkan keupayaan memantau pergerakan orang awam untuk mengekang penularan COVID-19 melibatkan 100,000 kamera sedia ada menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI).

Polis menyimpan segala data peribadi mereka yang dikenakan perintah kuarantin dan tidak langsung dibenarkan curi keluar atau menerima pelawat.

Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin menegaskan, pihak penguatkuasa sentiasa memantau pergerakan individu terbabit secara automatik dan mereka yang ingkar pasti tidak lepas daripada tindakan.

Menurut Sobyanin, rangkaian kamera ini berjaya membantu usaha menjejak seorang pelawat dari China yang dikesan positif COVID-19 dan diberi rawatan hospital di Moscow.

Dengan bergantung kepada kemudahan menjejak mengguna rangkaian kamera 'jejak wajah’ sedia ada, rakan pesakit itu berjaya dikesan melanggar perintah kuarantin bertemu seorang teman lelaki.

Turut dikesan termasuk 600 jiran terdekat berserta pemandu teksi yang membawa rakan pesakit itu keluar bersiar-siar.

Rusia mula memasang kamera litar tertutup lengkap dengan fungsi 'jejak wajah' sempena menjadi tuan rumah pertandingan Bola Sepak Piala Dunia 2018.

Keupayaan teknologi dan kepintaran buatan ini turut diguna untuk kerja-kerja kajian perubatan bersangkutan rawatan pesakit COVID-19, memantau rak pasar raya bertujuan menghindar 'pembelian panik’ dan memantau penyebaran berita palsu di media sosial.

Walaupun tindakan menggunakan kamera 'jejak wajah' sebagai alat pengesan tidak mendapat sokongan pengamal sistem demokrasi, penggunaannya nampak berkesan untuk menjejaki mereka yang ingkar mematuhi peraturan kuarantin.

Rusia yang mempunyai 146 juta penduduk setakat ini mencatat 253 kes positif COVID-19 tanpa sebarang kematian.