MANGSA serangan pengganas masjid di Christchurch pada Jumaat lalu mendapat perhatian daripada organisasi Perbadanan Pampasan Kecemasan Tempatan (ACC) yang menyalurkan bantuan kepada mangsa hasil daripada Skim Kerajaan New Zealand.

Kesemua ahli keluarga dan waris mangsa serangan pengganas itu akan diberi bantuan dari pelbagai aspek.

Kepada waris yang kehilangan ahli keluarga mereka dalam tragedi berkenaan, ACC akan membiayai kos pengebumian jenazah berupa geran antara NZ$6,219 (RM17,300) hingga NZ$10,000 (RM28,000).

Waris mangsa juga boleh memilih untuk mengadakan pengebumian sama ada di New Zealand atau di negara asal mereka.

Bagi keluarga mangsa terselamat pula, ACC menawarkan geran sebanyak NZ$6,668 (RM18,600) iaitu dibayar sekali sahaja kepada sama ada pasangan atau anak-anak dan tanggungan mangsa yang terkorban.

Jika kanak-kanak atau tanggungannya berusia bawah 18 tahun pula akan menerima geran berjumlah NZ$3,334 (RM9,300), manakala
kanak-kanak atau tanggungan yang berumur bawah 16 tahun, jumlah geran yang sama akan dibayar kepada waris atau penjaga mereka.

ACC turut menyediakan sokongan moral yang berterusan kepada kanak-kanak selama lima tahun sehingga berumur 14 tahun selain
pampasan mingguan diberikan kepada keluarga mangsa dan bayaran bergantung kepada keadaan mangsa itu sendiri.

Sementara itu, bagi mangsa yang cedera akibat serangan pengganas, ACC tidak ketinggalan menyediakan pampasan bagi meringankan beban mereka.

Antara bantuan yang disalurkan ialah sehingga 80 peratus daripada pendapatan sebagai pampasan seminggu jika anda tidak dapat bekerja kerana kecederaan yang anda alami.


Tidak ketinggalan bantuan penjagaan di rumah bagi mangsa yang cedera, penjagaan anak serta kaunseling.

Jurucakap ACC, James Funnell dalam kenyatannya memberitahu, pihaknya telah mula menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terbunuh dan mereka yang cedera dalam serangan dua masjid di Christchurch.

Sehingga kini, tragedi serangan pengganas semasa solat Jumaat itu telah mengorbankan 50 nyawa dan kira-kira 50 orang tercedera dan masih menerima rawatan di hospital.

Setiap keluarga terjejas mempunyai pegawai perhubungan polis yang akan berkongsi maklumat ACC dengan mereka.

Mereka yang memerlukan sebarang informasi boleh hubungi talian 0800 080 273 dan nombor antarabangsa di +647859 atau mengirim e-mel di alamat [email protected].