Rangkaian hotel terkemuka mewah Asia, Shangri-La pada Jumaat menjelaskan pihaknya sudah membersihkan bilik yang didiami pesakit pertama yang disahkan positif koronavirus di 'Rasa Sentosa Resort and Spa' di Singapura.

Naib Presiden Operasi Shangri-La di Asia Tenggara dan Australasia, Josef Dolp dalam kenyataannya memaklumkan pesakit itu telah menginap di hotel terbabit bersama keluarganya pada Isnin lalu.

Jelasnya, pesakit itu mengadu dirinya tidak sihat dan telah pergi ke hospital untuk pemeriksaan.

“Selepas dua hari menginap, dia memberitahu kakitangan hotel bahawa dirinya tidak sihat.

"Dia kemudiannya pergi ke Hospital Besar Singapura untuk mendapatkan rawatan dan dia disahkan positif virus itu," ujarnya.

BACA: Lapan warga China di Johor Bahru bebas koronavirus - Jabatan Kesihatan Negeri

Dalam pada itu, kata Dolp, selain membersihkan, pihak pengurusan hotel turut mengambil tindakan menutup bilik berkenaan.

“Bilik-bilik yang pesakit itu inap telah dibersihkan selepas mereka meninggalkan hotel malah kami juga telah mengunci bilik itu," katanya.

Malah, jelas Dolp, empat kakitangan hotel yang disyaki berhubung dengan pesakit berkenaan juga telah dikuarantinkan di rumah mereka dan diminta sentiasa memakai topeng muka sehingga disahkan negatif daripada jangkitan koronavirus.

BACA: Tiga individu sudah disahkan dijangkiti virus Wuhan di Singapura

BACA: Koronavirus: Lapan warga China dikuarantin di Johor Bahru

“Kami minta mereka (kakitangan hotel) duduk di rumah dan tunggu hasil keputusan ujian saringan," katanya.

Selain itu, Dolp turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan kerja-kerja pembersihan di hotelnya, termasuk di bilik-bilik dan kemudahan hotel.

"Kami juga turut mengingatkan kakitangan untuk menjaga kebersihan sepanjang masa dan tinggal di rumah jika berasa kurang sihat selain mendapatkan rawatan segera jika ada tanda-tanda penyakit pernafasan," katanya.

BACA: Koronavirus: Tiada kes dilaporkan di JKN, Johor - KKM