PEGUAM anti-rasuah yang terkenal, Zuzana Caputova memenangi Pilihan Raya Presiden Slovakia pada Sabtu, sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan itu di Slovakia.

Kehebatan Caputova yang dibandingkan dengan peguam Amerika terkenal, Erin Brockovich, itu menggunakan sentimen kemarahan rakyat Slovakia yang berang dengan isu rasuah di negara itu untuk meraih kemenangan.

Sepanjang kempen, isu rasuah dan perubahan dalam cara berpolitik merupakan tema utama kempen Caputova, mengingati seorang wartawan, Jan Kuciak yang dibunuh bersama tunangnya di rumah mereka, ketika membuat laporan kes penipuan berprofil tinggi.

Caputova, yang merupakan pro Kesatuan Eropah mendapat 58.3% udian daripada 98.1% undian yang dikira, mengatasi Ahli Pesuruhjaya Eropah, Maros Sefcovic, yang mendapat 41.7% undian.

Sefcovic merupakan seorang diplomat yang dihormati dan turut mendapat sokongan parti pemerintah, Smer yang mendominasi politik Slovakia sejak 2006.

Dalam ucapan kemenangan, Caputova mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Slovak serta golongan minoriti dalam pelbagai bahasa termasuk Hungary, Czech dan Ruthenia.