Kekejaman dan pembunuhan berterusan dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin menunjukkan betapa sukarnya undang-undang antarabangsa untuk mengambil tindakan terhadap rejim itu.

Demikian pandangan pakar geostrategis Dr Azmi Hassan yang menegaskan, lebih parah lagi, tindakan kejam Israel 'dihalalkan' Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjadikan rejim itu terus kebal.

"Ketika ini, Trump berada di belakang Israel 100 peratus. Selagi Amerika Syarikat berdiam diri, selagi itu Israel akan berdegil dan tidak akan tunduk dengan desakan Kesatuan Eropah atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas serangan terbaharu rejim Israel terhadap penduduk Palestin semasa rapat umum sempena Palestin Land Day Jumaat lalu di Gaza, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang awam maut dan 1,400 lagi cedera.

Beliau berpendapat, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab yang sepatutnya memainkan peranan besar dalam isu berkenaan tidak cukup berpengaruh dalam menghalang sebarang tindak-tanduk Israel.

"Saya melihat Kesatuan Eropah mempunyai lebih pengaruh kerana faktor pertalian diplomatik dan pertalian ekonomi antara Israel dengan kesatuan itu," ujarnya.

Justeru, katanya, hanya Amerika Syarikat sebagai sekutu kuat Israel yang boleh menghalang pihak itu daripada terus menindas penduduk Palestin.

"Jadi, OIC hanya boleh membuat bantahan. Itu sahaja. Namun, harapannya, dengan bantuan bantahan Kesatuan Eropah dan ditambah dengan desakan Amerika Syarikat, maka sesuatu dapat dilakukan ke atas Israel," tambahnya.