Polis Thai percaya suspek yang terlibat dalam siri pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos telah merangka rancangan mereka di sebuah 'negara jiran', kata Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan.

Katanya, siasatan menunjukkan beberapa orang daripada suspek telah melarikan diri ke negara jiran selepas letupan itu.

"Kami percaya ada beberapa orang lagi suspek. Bagaimanapun, mereka melarikan diri ke negara jiran.

"Polis akan menyelaras langkah dengan rakan (di negara jiran)," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau tidak menyatakan nama negara jiran berkenaan.

Katanya, polis mencapai kemajuan dalam siasatan mereka.

Sementara itu, timbalan jurucakap polis Kol Krissana Pattanacharoen berkata empat suspek didakwa hari ini melakukan pembakaran, memiliki bahan letupan secara haram dan terlibat dalam jenayah terancang.

Setakat ini, enam lelaki telah dituduh berhubung pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos.

Pada hari kejadian, polis menemui sembilan bom, termasuk bahan yang belum meletup, di lima lokasi di ibu negara ini selepas beberapa letupan kecil mencederakan empat orang ketika Bangkok menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.

-- BERNAMA