Bagi memastikan keselamatan jemaah haji, Arab Saudi meningkatkan kawalan keselamatan bukan sahaja dengan kehadiran pasukan keselamatannya tetapi juga dengan memasang sistem pemantauan kamera berteknologi tinggi di Masjidilharam dan tempat suci yang lain.

Portal berita online Arab News memetik Ketua Pusat Kawalan Haji Mejar Jeneral Abdullah Al-Zahrani sebagai berkata 5,000 kamera pemantauan yang mempunyai teknologi penglihatan malam dan boleh meliputi sehingga 60 kilometer, dipasang di Masjidilharam dan tempat suci yang lain.

Pengarah Pusat Pertahanan Awam di tempat suci Brig Jen Salim Al-Madhab berkata para pegawainya menggunakan teknologi sistem kedudukan global (GPS) bagi mencegah sebarang kemungkinan kemalangan di tempat suci.

Sistem itu membolehkan para penyelamat bergegas ke tempat kemalangan dalam masa yang singkat, katanya.

Katanya sebagai tambahan, pasukannya menggunakan saluran komunikasi tanpa wayar.

"Kami mula mengadakan giliran kerja 24 jam bagi memastikan keselamatan jemaah haji," Salim memberitahu Arab News.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata pasukan keselamatan telah menghalang 98,000 orang daripada memasuki Makkah kerana tidak mempunyai permit haji, manakala 25,216 kenderaan tidak dibenarkan memasuki kawasan suci kerana tidak mendapat kebenaran untuk membawa jemaah haji, dan 85 kenderaan lagi kerana melanggar peraturan berkaitan haji.