Republik Demokratik Congo (DRC) akan mula menguruskan pemerikaan dan kajian ke atas vaksin virus Ebola di Mbandaka bermula Isnin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan republik itu akan menjalankan kajian tersebut di bandar yang didiami lebih 1.2 juta penduduk.

Ia susulan laporan beberapa penduduk di bandar Mbandaka disahkan mengidap virus Ebola.

Ketika membincangkan perkara itu di Geneva, Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata beliau telah mengambil maklum saranan yang dibuat Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) agar tiada pengisytiharan amaran kesihatan awam dibuat.

"Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) menyarankan agar WHO tidak mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa di tengah-tengah kebimbangan penyakit yang telah mula tersebar Mbandaka.

"Ini kerana kini kes-kes Ebola hanya di pusat bandar dan situasi wabak tidak seburuk yang pernah berlaku pada 2014 lalu," jelasnya.

Peringkat awal program vaksinasi akan diberikan kepada 600 orang yang terdiri dari pegawai perubatan, individu yang berkait rapat dengan pesakit dan mereka yang pernah berhubung dengan individu yang mendekati pesakit.

Buat masa ini lebih daripada 4,000 dos vaksin telah berada di republik itu dan dijangka lebih banyak lagi bekalan akan dihantar.

WHO berkata vaksin tersebut telah digunapakai ketika wabak sama melanda Barat Afrika beberapa tahun lalu dan yakin ia masih berkesan untuk digunakan di Congo.

Cabaran utama kini adalah bagi menyelenggara vaksin agar sentiasa berada pada suhu sejuk.

Kementerian Kesihatan Republik Congo pada Ahad mengesahkan empat kes baru Ebola.

Sejumlah 46 kes demam berdarah turut dilaporkan, termasuk 21 kes disahkan Ebola, 21 kemungkinan dan empat disyaki.

Setakat ini 26 kematian direkodkan akibat Ebola dan WHO turut dipersalahkan susulan penyebaran wabak itu.

Buat masa ini tiada rawatan khusus untuk Ebola.

Antara gejala Ebola termasuk demam, muntah, cirit-birit, sakit otot dan kadang-kadang pendarahan dalaman dan luaran.