Sejak adanya pengenalan vaksin imunisasi, jumlah kes penyakit berjangkit di seluruh dunia telah berkurangan secara mendadak.

Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyakit berjangkit seperti campak, denggi dan chikungunya telah naik secara mendadak di beberapa negara seluruh dunia kerana terdapatnya golongan atau gerakan anti-vaksin yang tidak mempercayai keberkesanan vaksin.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran tentang keraguan mengambil vaksin dalam kalangan masyarakat dunia boleh menyebabkan wujudnya 10 ancaman kesihatan dunia dan perkara ini perlu diambil perhatian.

BACA: Gerakan antivaksin antara faktor penularan semula penyakit berjangkit

Walaupun sesetengah daripada rakyat kita beranggapan bahawa tiada kesahihan status halal di dalam vaksin atau vaksin boleh mengundang penyakit yang merbahaya, pengambilan vaksin sebenarnya sedikit sebanyak membantu untuk mengekang penyakit berjangkit ini dari merebak.

BACA: Hentikan perdebatan, tiada vaksin haram di Malaysia

Berikut merupakan beberapa buah negara di seluruh dunia yang kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal disebabkan wabak penularan penyakit berjangkit.

Filipina
Setiausaha kesihatan Filipina melaporkan seramai 136 orang, kebanyakannya kanak-kanak, meninggal dunia akibat campak dan 8,400 yang lain telah sakit akibat wabak penyakit itu.

Antara penyebab peningkatan penularan ini disebabkan ketakutan rakyatnya mengambil suntikan vaksin baru-baru ini.

BACA: Filipina isytihar darurat selepas wabak campak semakin serius

Malah, Biro Kesihatan Epidemiologi Negara itu juga melaporkan sebanyak 2.4 juta kanak-kanak di Filipina yang belum divaksin.

Rata-rata ibu bapa di negara itu enggan anak-anak mereka divaksin di pusat kesihatan kerajaan selepas terjadinya komplikasi berkaitan dengan vaksin denggi, Dengvaxia.

Presiden negara itu, Rodrigo Duterte juga mengeluarkan amaran di dalam televisyen baru-baru ini dengan menegaskan penyebaran wabak tersebut boleh membawa maut dan menggesa ibu bapa membenarkan anak-anak mereka diimunisasi. Wabak ini bermula pada bulan Januari.

Thailand
Thailand melaporkan ribuan kes chikungunya di selatan negaranya tahun lepas dan hanya dalam dua minggu pertama tahun 2019, sebanyak 447 kes telah dilaporkan dari 12 wilayah, kebanyakannya dari Phuket, Songkla dan wilayah Pattani.

Peningkatan penyakit itu juga menyebabkan pelancong dari negara lain dinasihatkan untuk mengambil vaksin pelancongan hanya untuk melancong ke negara gajah putih itu.

BACA: Hati-hati ke Hatyai!

Malah, portal berita Bangkok Post juga menyatakan bahawa Gavenor Bangkok, Pol Gen Aswin Kwanmuang dengan tegas mengarahkan pengawalan secara ketat terhadap penyakit ini terutamanya dalam membunuh larva nyamuk Aedes tersebut.

Perkara ini juga telah menyebabkan Negara jiran terutamanya Malaysia untuk berjaga-jaga. Pemantauan di gerbang sempadan antara Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia juga dilaporkan diperkuat dengan kaedah pemeriksaan suhu badan untuk mengesan kes disyaki Chikungunya dari pelawat yang memasuki Malaysia.

Amerika Syarikat
Walaupun penyakit demam campak telah diisytiharkan hapus di Amerika Syarikat pada tahun 2000, negara Uncle Sam itu baru-baru telah mengeluarkan amaran penyakit demam campak di daerah Washington, Oregon, dan New York.

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat juga mengesahkan lebih 100 individu dijangkiti demam campak di negara itu dan separuh daripadanya dilapor dikesan di Washington.

BACA: Wabak campak merebak, Washington isytihar darurat!

Gabenor Washington, Jay Inslee berkata pegawai kesihatannya turut melaporkan bahawa sebanyak 30 kes demam campak melibatkan kanak-kanak yang tidak diberikan imunisasi manakala empat yang lain belum disahkan.

Costa Rica
Seorang kanak-kanak lelaki Perancis dilaporkan terkena demam campak, sekali gus merekodkan kembali penularan penyakit tersebut di Costa Rica selepas negara Amerika Tengah itu diisytiharkan bebas daripada penyakit berkenaan sejak lima tahun yang lalu.

Berita mengenai wabak penyakit berjangkit yang kembali tular di negara itu telah menimbulkan rasa bimbang ramai pihak tentang kesan pergerakan anti-vaksin di seluruh dunia.

Kementerian Kesihatan Costa Rica berkata kanak-kanak lelaki itu telah tiba di Costa Rica dengan ibu bapanya pada 18 Februari.

Menurut laporan berita The Costa Rica Star, budak lelaki berusia lima tahun itu dan ibunya tidak pernah diberi vaksin.

Sebelum ini, Ibu bapanya dikatakan telah merujuk doktor swasta di Costa Rica mengenai "ruam" pada anaknya serta turut memberitahu bahawa terdapat kanak-kanak lain yang hadir ke sekolah yang sama dengan anaknya di Perancis turut terkena campak.


Ukraine
Sebanyak lapan orang dilaporkan maut akibat wabak campak di Ukraine, dan seramai lebih 3,100 telah dijangkiti demam itu pada awal bulan Februari menurut laporan Associated Press.
Angka-angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, di mana 53,000 orang mengidap penyakit ini.

Ukraine juga dikatakan bertanggungjawab bagi masalah demam campak yang meningkat naik di Eropah, namun ia bukan satu-satunya negara yang bergelut dengan penyakit yang sangat berjangkit itu.


Peningkatan penularan penyakit berjangkit ini semakin membimbangkan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Malah, pelbagai maklumat yang bercanggah berhubung keberkesanan vaksin kini ditapis oleh pihak YouTube dan Pinterest kerana tidak mahu sebarang maklumat retorik berkaitan anti-vaksinasi dipromosi secara umum di laman mereka.

BACA: Pinterest, YouTube aktif sekat perkongsian maklumat tidak sahih vaksin

Perlindungan vaksin merupakan perkara yang sangat penting dalam mengekang penularan wabak penyakit terhadap kanak-kanak atau mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah.

Golongan yang tidak mempercayai vaksin juga boleh menjadi penyumbang kepada penularan penyakit yang boleh dikawal ini.