Presiden China Xi Jinping berjanji untuk meluaskan lagi ekonomi terbuka negara berkenaan dan menurunkan tarif import ke atas produk termasuklah kereta, di 'Chinese Boao Forum for Asia' di wilayah Hainan pada Selasa.

Beliau berkata China juga akan meningkatkan had pemilikan asing dalam sektor automobil secepat mungkin serta mendesak untuk melaksanakan langkah bagi membuka sektor kewangan seperti diumumkan sebelum ini.

"Tahun ini kita akan mengurangkan tarif import automobil dan pada masa sama akan mengurangkan tarif import untuk produk-produk yang lain," katanya dalam ucapan.

Beliau juga berkata China akan memperluaskan akses pasaran bagi merancakkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara tersebut.

Xi Jinping yang baru sahaja dilantik semula sebagai presiden negara tersebut membuat ucapan berkenaan bagi bertujuan meredakan ketegangan perdagangan antara China dengan Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, hubungan perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi itu semakin renggang berikutan ancaman daripada AS untuk mengenakan tarif yang tinggi susulan dasar perdagangan dan harta intelek daripada China.