Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan sudah tiba masanya mereka bertindak untuk menangani masalah caj perkhidmatan.

Justeru Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Kapar G. Manivannan, akan mengusulkan satu rang undang-undang Ahli Persendirian (Private Member Bill) melalui peraturan Majlis Mesyuarat 49 (1) Parlimen untuk mengawal masalah caj perkhidmatan.

“Saya amat kesal dengan kenyataan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna yang gagal menetapkan undang-undang mengawal penyalahgunaan ‘Service Charge’ yang setinggi 10 peratus,” Sim berkata semasa mengulas masalah caj perkhidmatan.

Beliau berkata kutipan caj perkhidmatan itu perlu digunakan untuk meningkatkan industri perkhidmatan negara, dan mereka merancang untuk mencadangkan bahawa 2% daripada caj perkhidmatan 10% itu digunakan untuk kursus-kursus pembangunan pekerja, termasuk bagi kursus perkhidmatan dan kebersihan.

"Apa yang kami mahu ialah pembaharuan dalam caj perkhidmatan, memastikan wang itu pergi kepada pelayan dan 2% pergi ke latihan dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka, seperti dalam hal-hal kebersihan."

Tambah beliau, kebanyakan pengguna tidak rasa berbaloi, “no value for money”, membayar caj perkhidmatan 10 peratus itu untuk perkhidmatan yang mereka terima daripada pelayan-pelayan.

Beliau berkata walaupun caj perkhidmatan sudah dilaksanakan 20 tahun yang lalu masih tiada perundangan untuk mengawal caj tersebut dan isu itu mula mendapat perhatian selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Proses pengenalan Private Member Bill tersebut akan bermula terlebih dahulu dengan pengumpulan maklumat dan respons daripada orang-orang berkepentingan daripada industri perkhidmatan.

Sim berkata, “kami berharap untuk berdialog dengan golongan majikan, kesatuan pekerja, FOMCA (Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia) untuk mendengar pandangan daripada semua pihak.

“Kami mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklumbalas kepada kami".

Beliau berkata keputusan untuk rang undang-undang persendirian itu ialah kerana kerajaan BN telah gagal untuk menggubal undang-undang untuk mengawasi keadaan walaupun pada hakikatnya ia telah dilaksanakan oleh hotel, restoran dan kedai-kedai makan untuk tempoh 20 tahun yang lalu.

"Jika BN mengambil masa 20 tahun tanpa apa-apa undang-undang untuk mengawal caj perkhidmatan, kita perlu campur tangan, kerana mereka jelas tidur di tempat kerja."

Pemimpin-peminpin PKR itu dijumpai dalam satu sidang media mengenai pelancaran kempen #BantahGST seluruh negara dan isu 'service charge' di kawasan tol Damansara berhampiran ibu pejabat PKR.