Penyanyi yang mula diperkenalkan menerusi program realiti Akademi Fantasia, Amir Jahari pernah dihina kerana menjadi penyanyi jalanan sewaktu mula-mula mencari tapak.

Pengalaman itu memberi kesan mendalam namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

Setelah 22 bulan memperkenalkan single pertama, Amir kini mengorak langkah dengan pelancaran album sulungnya iaitu Penghibur Jalanan.

Kini usaha jejaka kelahiran Kuching, Sarawak ini mula membuahkan hasil apabila garapannya diterima peminat sehingga menakluki semua carta radio.

Album yang mengandungi sembilan buah lagu hasil ciptaan sepenuhnya Amir sendiri adalah kolaborasi dengan penerbit yang juga abang penyanyi popular Aizat, Anas Amdan.

Selain kepercayaan yang diberikan oleh penerbit Kasi Gegar Entertainment (KGE) untuk berkarya tanpa batasan, Amir menggunakan media sosial sebagai platform promosi bagi mendekati pendengar baru.

‘Gelisah’ single ketiga selepas Tanpamu dan Penghibur Jalanan dijangka meletakkan nama Amir sebaris penyanyi popular lain.