TIGA anggota kumpulan rock alternatif, No Doubt - Tom Dumont, Tony Kanal and Adrian Young - kini bekerjasama dengan vokalis AFI, Davey Havok untuk membentuk satu kumpulan baharu.

Menurut Billboard, kumpulan baharu itu telah bersedia untuk muncul ke dunia muzik walaupun masih belum mempunyai nama namun bakal mengekalkan genre muzik rock alternatif.

Mereka telah menyiapkan album pertama, melantik Pat Magnarella (pengurus Green Day) sebagai pengurus dan kini sedang mencari syarikat rakaman yang sesuai.

No Doubt kali terakhir membuat persembahan bersama Gwen Stefani pada tahun lalu namun selepas itu Stefani dilihat sibuk dengan pihak pengurusan baharu dan memberi fokus kepada karier solo.

Stefani sendiri mengakui tahun lalu bahawa proses pembikinan album reunion mereka Push and Shove yang diterbitkan pada tahun 2012 merupakan satu proses yang sukar.

“Satu proses yang tiada kepastian, tidak meyakinkan, tidak tahu apa yang bagus untuk didengar, dan tidak jujur,” tambah Stefani.

Tindakan mewujudkan kumpulan yang melibatkan gabungan artis ternama atau supergroup ini bukanlah sesuatu yang baharu.

John Lennon dari The Beatles, misalnya, pernah bergabung dengan Eric Clapton (The Yardbirds), Keith Richards (The Rolling Stones), dan Mitch Mitchell (The Jimi Hendrix Experience) untuk membentuk The Dirty Mac pada tahun 1968.

Begitu juga dengan Audioslave yang dianggotai oleh tiga orang ahli Rage Against The Machines dan vokalis Soundgarden.