BINTANG Gegar Vaganza 2 (GV2), Ezlynn hairan apabila teman-teman rapatnya terutama wanita yang sudah berkeluarga kini semakin menjauhkan diri daripadanya.

Jelas Ezlynn atau nama sebenarnya Azeline Ariffin, 37, dia pula bukan seorang individu yang merayu-rayu untuk orang lain kekal berkawan dengannya.

"Saya rasa ramai yang semakin takut dengan saya, terutama kawan-kawan perempuan.

"Saya tak salah apa-apa pun, tiba-tiba jadi lain. Manakala, saya pula jenis yang tak kisah, kalau orang tak nak berkawan sudah.

"Prinsip saya, tak perlu merayu-rayu untuk orang berkawan dengan saya sebab 'true friends stay'," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Goyang di Red Box The Gardens, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Ezlynn enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada dia pernah mendapat kiriman mesej daripada lelaki berstatus suami orang.

"Lelaki akan menjadi lelaki. Apabila macam itu kita tahulah.

"Tentang jodoh dengan suami orang, saya tak boleh cakap apa-apa kalau Allah cakap Kun Fayakun," tambahnya.

Ezlynn akui selepas bercerai dengan bekas suaminya, Fahmy Shamsudin pada Oktober 2017, dia ada berkawan dengan beberapa lelaki namun belum sampai ke tahap serius.

Dalam perkembangan lain, Ezlynn teruja menantikan maklum balas daripada peminat selepas melancarkan muzik video Goyang.

"Lagu Goyang menampilkan konsep muzik fun ska yang sesuai dengan imej baru saya sekarang," ujarnya.