PELAKON popular, Fikry Ibrahim yang kini semakin popular dengan watak Encik Imam Ekspres secara terbuka mengakui, dia amat mengagumi bakat lakonan pelakon Shaheizy Sam dan teringin untuk berlakon bersamanya.

Menurut Fikry, Shaheizy memiliki karisma dan ciri-ciri pelakon lelaki yang diminatinya.

"Saya teringin untuk berlakon dengan Shaheizy Sam kerana dia adalah pelakon kegemaran saya di Malaysia.

"Melihat pada lakonannya, dia sangat berkarisma dan boleh membawa pelbagai watak dengan sangat baik dan tidak terlalu mencuba.

"Untuk pelakon wanita pula, saya tiada pelakon kegemaran secara spesifik kerana beberapa pelakon kegemaran saya di Malaysia hanya terdiri daripada pelakon lelaki," kata Fikry kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, drama bersiri lakonan Fikry iaitu Encik Imam Ekspres kini sedang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).