Anggap diri 'pelajar ITM'. Itu luahan hati pelakon veteran Ahmad Busu beberapa ketika sebelum meninggal dunia.

'ITM' yang dimaksudkan oleh Allahyarham 'ibadat tunggu mati', kata balunya, Seri Mohamad, 54.

Seri berkata, Allahyarham sering dilihat membaca Al-Quran biarpun tidak bermaya akibat menghidap diabetes.

"Dia selalu sakit sejak akhir-akhir ini namun pada saya, kesakitan itu yang buat dia lebih banyak beribadah... ibarat dia tahu yang dia dah nak pergi. Ahmad juga menyatakan amat ingin berjumpa kawan-kawan lamanya.

"Bila arwah selalu sangat kata nak jumpa kawan-kawannya, saya rasa lain tapi Alhamdulillah, semasa cuti Deepavali, dapat juga arwah balik kampung di Taiping dan sempat jumpa kawan-kawan sekolahnya," katanya kepada pemberita di sini, hari Isnin.

Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.08 malam semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini akibat diserang angin ahmar.

Allahyarham dikenali dengan watak Mat Deris dalam sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' dan memulakan kerjaya seni menerusi pementasan teater pada 1978.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang kira-kira pukul 11.30 pagi.

Antara rakan artis yang hadir menziarahi jenazah adalah Imuda, penyanyi Nash, Bob Lokman, Datuk Jamali Shadat, Datuk DJ Dave dan Datuk Baharuddin Omar.

Imuda, 53, berkata kenangan berlakon bersama Ahmad selama lebih dua dekad dalam sitkom popular itu sentiasa terpahat dalam ingatan.

Ini telah merapatkan lagi hubungan mereka berdua sehingga Imuda menganggap arwah sebagai abang sendiri.

"Dia selalu pesan pada saya, sentiasa sedar diri semakin berumur dan tingkah laku kena jaga, apa yang nak dibuat, mesti ikut umur kita.

"Itu memang saya akan ingat sampai bila-bila...pemergian dia satu kehilangan besar dalam dunia hiburan tanah air," kata Imuda.