WALAUPUN sudah 40 tahun berada dalam dunia seni Datuk M.Nasir tetap komited menghadiri latihan sebagai persiapan untuk Konsert M.Nasir Satu Hikayat akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mesti ramai yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat seniman tersohor itu mempersembahkan 28 buah lagu esok.

Konsert M.Nasir Satu Hikayat akan diiringi pemuzik dikenali sebagai ‘Gong’ yang terdiri daripada Aznan Alias, Firdaus Mahmud, Raffi dan Ujang Exists (kepada yang belum tahu), yang sering bersama beliau dalam konsert juga rakaman album.

Pada malam konsert yang berdurasi 2 jam 30 minit itu nanti, M.Nasir bukan sahaja akan menyanyikan lagu-lagu beliau sahaja tetapi akan turut membawa lagu-lagu ciptaannya yang pernah dinyanyikan artis lain.

Wah! Teruja kan? Jangan cakap tidak kerana buktinya, tiket konsert awal-awal dah ‘sold out’ sehingga penganjur terpaksa menambah sehari lagi tarikh persembahan atas permintaan peminat.

Fuh! Bukan biasa-biasa aura dimiliki Datuk M.Nasir tau!

BACA: Cerita pemuzik menjelang Konsert M.Nasir Satu Hikayat

BACA: M. Nasir rai ulang tahun ke-40 dengan konsert berskala besar

BACA: Konsert solo M. Nasir dilanjutkan satu malam lagi

Oklah, sedikit trivia tentang Datuk M.Nasir:

Dilahirkan pada 4 Julai 1957 di Singapura, Datuk M.Nasir merupakan seorang penyanyi, penggubah lagu, pelakon, penerbit album, pengarah serta pelukis yang menetap di Malaysia.

Beliau juga dikenali dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia.

M. Nasir juga ialah salah seorang penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo baru di setiap empat dekad berbeza berturut-turut selain Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim, Ramlah Ram, Jamal Abdillah, Hattan dan Noraniza Idris.

Datuk M.Nasir merupakan pelajar pengajian diploma dalam lukisan Barat di Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura dan asalnya mahu menjadi seorang pelukis.

Beliau mula menceburi bidang penciptaan muzik pada tahun 1978 apabila seorang rakan yang merupakan penerbit eksekutif PolyGram Singapura, Wan Ibrahim telah menjemput beliau menulis lirik lagu untuk kumpulan Alleycats yang sedang meningkat popular ketika itu.