SELEPAS berada di salah sebuah stesen pengangkutan Mass Rapid Transit (MRT) semalam, anak patung Annabelle kini ‘ditemui’ di Pusat Membeli-belah Sunway Pyramid.

Menerusi akaun Facebook, Sunway Pyramid meminta orang ramai untuk menolong Annabelle yang dilihat hilang arah tuju dan terperangkap di pusat membeli-belah itu.

"Rakan singa hilang di pusat membeli-belah! Bolehkah sesiapa membantu dia pulang ke rumah?” tulis pengendali media sosial pusat membeli-belah itu sambil berkongsi beberapa gambar Annabelle berkeliaran.

Walaupun ramai melihat perkara ini sebagai satu tindakan yang lucu, segelintir netizen bagaimanapun nampaknya tidak begitu selesa dengan perkara ini, dan berpendapat meletakkan patung itu di merata-rata tempat hanya akan menganggu keselamatan kanak-kanak.

"Orang dewasa mungkin tidak akan rasa terganggu tetapi kanak-kanak mungkin terkejut. Perkara ini perlu berhenti," tulis seorang netizen, Erene Says.

BACA: "Jaga perilaku menaiki tren atau Annabelle akan menghantui anda!"

Bagaimanapun, ia difahamkan, hiasan ini adalah untuk tujuan promosi bagi filem terbaharu, Annabelle.