10 pelajar lelaki dari Asrama Akhlak Gajah Mati, Pokok Sena yang melarikan diri dari asrama semalam direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 23 September ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, kesemua mereka akan disiasat mengikut seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

BACA: 10 pelajar asrama akhlak lolos ditangkap dalam keadaan lemah dan lapar

Pelajar terbabit berjaya ditahan semula petang semalam selepas polis menemui mereka di dalam kawasan semak di Kampung Sungai Durian kira-kira dua kilometer dari asrama mereka.

Orang awam yang ternampak kelibat pelajar terbabit di kawasan semak menimbulkan curiga lalu dimaklumkan kepada balai polis Pokok Sena.

10 pelajar lelaki terbabit melarikan diri antara jam 5.30 petang hingga 9.00 malam Selasa.

Kehilangan mereka disedari pembantu pegawai pembangunan masyarakat yang ketika itu sedang melakukan rondaan.

Kesemua mereka melarikan diri melalui pintu pagar bahagian belakang asrama dengan cara mengumpil pintu dan memotong pagar.

Pelajar terbabit kemudiannya ditahan di pusat itu atas pelbagai kesalahan jenayah dan mereka masih di bawah umur.