Sebanyak 112 pertubuhan masyarakat sivil bersatu dan melancarkan pembentukan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) demi membantah penggunaan berterusan undang-undang Akta Hasutan 1948.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, gerakan yang akan dilancarkan secara rasmi pada 15 September itu merupakan usaha berpanjangan gerakan itu bagi menentang akta yang dianggap penindasan dan satu keganasan politik.

"Gerakan ini akan memulakan siri jelajah ke seluruh negara selepas 15 September ini dan memberi pemahaman kepada rakyat terhadap penting menghapus Akta Hasutan.

"Akta ini disalahgunakan bagi melindungi pihak tertentu selain kepentingannya, mencengkam pembangkang dan penentang sekali gus memastikan isu tertentu tidak disentuh," katanya semasa sidang media pembentukan GHAH di sini hari ini.

Antara pertubuhan yang menyertai GHAH adalah Kelab Bangsar Utama, Johor Yellow Flame (JYF), Global Bersih, Kajian Politik Untuk Perubahan, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Sembang Sembang Forum.

Jelas Paulsen lagi, selain menuntut pemansuhan akta terbabit, gerakan itu juga mahu tuduhan hasutan sedia ada digugurkan kerajaan.

"Keadaan membimbangkan kerana kebelakangan ini ia digunakan kepada beberapa individu dan mereka sudah didakwa di bawah akta ini.

"Undang-undang ini perlu dihapuskan jika kita ingin menjadi negara yang benar-benar merdeka," ujarnya.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Muda Nasional (JPMN) , Syahredzan Johan melancarkan kempen selama setahun untuk memberi tekanan terhadap usaha memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang akan dijalankan di seluruh negara.

Katanya, kempen '#MansuhAktaHasutan’ bertujuan untuk menekan kerajaan untuk menunaikan janji untuk memansuhkan undang-undang yang dikatakan "zalim, ketinggalan zaman dan kuno" itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 11 Julai, 2012, telah berjanji untuk mempertimbangkan bagi memansuhkan akta tersebut dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.