Semua 14 pesakit malaria yang dikesan di Ampang disahkan sembuh selepas dirawat hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes pertama mula diterima pada 20 Mei lepas di Hospital Ampang dan setakat ini, kes terakhir dilaporkan adalah pada 12 Jun lalu dengan situasi terkawal buat masa sekarang.

“Setakat ini seramai 3,017 orang telah disaring melalui ujian slaid darah. Hasil daripada saringan ini, sepuluh orang lagi telah dikesan dijangkiti malaria dan kesemua adalah warga asing.

“Pada masa sama, sebanyak tiga kes dikesan di fasiliti kesihatan berdekatan iaitu dua warga asing dan seorang warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan adalah 14 kes yang terdiri daripada sembilan warga Indonesia, Bangladesh (tiga), Nepal (seorang) dan Malaysia (seorang),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Dr Noor Hisham, jangkitan itu disyaki berpunca daripada seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan di Aceh, Indonesia sebelum merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan.

“Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, PKD Hulu Langat telah menjalankan aktiviti semburan racun residu di semua 193 buah rumah kongsi pekerja dan telah mengedarkan sebanyak 340 kelambu berubat.

“Di samping itu, tempat-tempat takungan air di kawasan tapak pembinaan dan tempat ditemui jentik-jentik telah dibubuh racun pembunuh jentik-jentik. Aktiviti kawalan malaria juga diperluaskan ke kawasan perumahan berdekatan.

“Penduduk di kawasan ini telah diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria,” ujarnya.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak pengurusan projek pembinaan lebuh raya bagi membincangkan pelaksanaan aktiviti kawalan.

“Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) juga telah dilaksanakan,” katanya.

BACA: Kes Malaria: MPAJ cadang tutup hutan berhampiran Taman Saga, Taman Bukit Hatamas

Semalam, Astro AWANI melaporkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bercadang menutup kawasan hutan berhampiran Taman Saga dan Taman Bukit Hatamas sekiranya kes malaria di kedua-dua kawasan itu meningkat dengan mendadak.

Yang Dipertua MPAJ, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, setakat ini pihaknya masih memantau keadaan tersebut dan ia bergantung kepada jumlah kes dicatatkan dalam masa terdekat.