KUALA LUMPUR:Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) meminta penduduk menyimpan air secukupnya pada 9 Oktober susulan penutupan penuh operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih untuk tempoh 12 jam.

Penutupan akan menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dan secara keseluruhannya melibatkan 342,000 akaun pengguna.

Syabas dalam kenyataannya memberitahu, henti tugas itu terpaksa dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja penggantian perkakasan di loji terlibat.

Tempoh pemulihan bekalan air selepas pengoperasian semula kepada pengguna akan berbeza-beza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada geografi.

Syabas bagaimanapun akan membuka tujuh Pusat Khidmat Setempat yang akan beroperasi 24 jam bermula 9.00 pagi Selasa.

Antara lokasi PKS adalah Taman Rekreasi Wawasan, Persiaran Wawasan Puchong, Pusat Perdagangan Seri Kembangan dan Rumah Pam Taman Equine bagi daerah Petaling.

Bagi Hulu Langat pula berhampiran Masjid Al-Hasanah, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.

Dua PKS akan beroperasi di Sepang iaitu bertempat di Masjid Taman Putra Perdana, Puching dan Putrajaya Sentral, Persint 7, Putrajaya.

Sementara bagi daerah Kuala Langat, PKS akan beroperasi di Jalan Palas 10, Taman Dato' Hormat, Telok Panglima Garang.

 

Maklumat terkini boleh didapati di www.syabas.com.my, Facebook dan Twitter Air Selangor atau aplikasi telefon pintar Air Selangor.

Untuk bantuan bekalan air kecemasan, pengguna boleh SMS  Tanker(Nama)(Alamat) ke 15300 atau WhatApp ke 019-261 6793 atau 019-281 6793.