KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Portal MyAssist MSME sebagai suatu solusi norma baharu bagi keperluan fasilitasi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah satu pusat sehenti.

Beliau berkata inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu menyediakan platform kepada PKS untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bimbingan dan peluang pemasaran secara dalam talian. 

“Platform ini akan dapat membantu PKS menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan dalam keadaan norma baharu. Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PKS tempatan terus diperkasa dalam mendepani cabaran semasa,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian menerusi rakaman ucapan bagi majlis pelancaran portal MyAssist MSME dan perasmian Minggu PKS Kebangsaan 2021 yang diadakan secara dalam talian hari ini. 

Beliau berkata Portal MyAssist MSME dibangunkan pada waktu yang tepat dalam keadaan pandemik COVID-19 yang menyaksikan masyarakat secara tidak langsung terpaksa menerima penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian, sekali gus mendorong peningkatan penggunaan teknologi maklumat.

Muhyiddin berkata usahawan perlu berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan, agar mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.

"Pendigitalan merupakan elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan. Oleh itu, usahawan tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat," katanya.

Bagi memperkukuhkan hubungan pendigitalan di negara ini, Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

JENDELA akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi itu dengan mempercepat penyambungan digital negara melalui penyebaran akses mudah alih, fiber dan tanpa wayar tetap dan membuka jalan ke 5G, katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pelan pendigitalan yang meluas di seluruh negara akan memberi manfaat besar kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan usaha SME Corp Malaysia menganjurkan Minggu PKS Kebangsaan 2021 secara dalam talian melalui portal MyAssist MSME sebagai satu langkah wajar.

Muhyiddin berkata program bertemakan 'Mula Berdikit, Azam Melangit' itu diharap dapat menjadi titik tolak bagi PKS untuk mengambil peluang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan seterusnya mendapatkan akses pasaran yang lebih luas dengan meneroka perniagaan melangkaui sempadan di peringkat antarabangsa. 

Mengucapkan syabas atas pelancaran portal ASEAN Access pada 16 Jun lepas, beliau berkata Portal ASEAN Access memaparkan maklumat perdagangan dan akses pasaran kepada PKS untuk meneroka pasaran dan memudah cara perniagaan di rantau ASEAN. 

"Saya percaya portal ASEAN Access yang turut menghoskan MyAssist ini dapat menjadi gerbang pemangkin bagi PKS tempatan meluaskan pasaran ke luar negara dan bagi PKS asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan, justeru memperkasakan ekonomi negara," katanya.

Muhyiddin berharap rakyat Malaysia sebagai pengguna dapat memberikan sokongan penuh kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana yang menyertai pameran dalam talian itu dengan menggunakan platform media sosial dengan positif untuk meningkatkan kesedaran dan membantu mempromosi produk dan perkhidmatan PKS tempatan.

"Kepada para usahawan mikro, kecil dan sederhana serta bakal-bakal usahawan sekalian, saya ingin menggesa semua untuk memanfaatkan sepenuhnya Portal MyAssist MSME yang dibangunkan ini dalam membantu mengembangkan lagi perniagaan tuan-tuan dan puan-puan. 

"Portal MyAssist MSME, dengan modul khidmat nasihat interaktif, padanan perniagaan serta e-pameran dan ekspo dalam talian merupakan pusat rujukan masa depan setempat atau 'one stop centre of the future'. 'The future is now'," katanya.