Sebanyak 948 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air telah pulih sepenuhnya setakat jam 6.30 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, 344 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

Peratusan pemulihan mengikut wilayah melibatkan Petaling (91.78%), Klang/Shah Alam (38.42%), Gombak (72.99%), Kuala Lumpur (47.37%), Hulu Selangor (100%), Kuala Langat (50%) dan Kuala Selangor (99.25%).

"Bagi kawasan kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12:00 tengah malam 7 September 2020, masih belum pulih sepenuhnya di 71 kawasan disebabkan oleh penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang telah mula menerima bekalan air," katanya kenyataan itu pada Isnin.

Justeru, Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran - saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini," tambah kenyataan itu lagi.

Pengguna dinasihatkan merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.

"Pihak kami mohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih tersebut bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain," kata Air Syabas.

Sumber Facebook airselangor