Tiga puluh enam penumpang dan dua pemandu sebuah bas ekspres nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terbabas di Jalan Kuantan-Pekan dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata dipercayai bas ekspres berkenaan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan setelah hilang kawalan semasa tiba di lokasi kejadian.

"Bas ekspres ini dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan sewaktu kejadian tersebut," katanya semasa dihubungi.

Beliau berkata lima orang penumpang mengalami cedera ringan dan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk mendapatkan rawatan.

Katanya polis sudah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu bas ekspres itu untuk ujian toksikologi bagi mendapatkan keputusan analisis dadah dan alkohol.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Nor Dzaini Md Zin berkata pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 5.02 pagi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

"Setibanya pihak kita di lokasi kemalangan ini, kita mendapati semua mangsa sudah berada di luar bas tersebut yang mana kesemua mereka ini dikeluarkan dengan bantuan orang awam," katanya ketika dihubungi. -- BERNAMA