SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:


1. Program sarapan pagi sekolah bermula hari ini

Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama mula dilaksanakan hari ini di 100 sekolah rendah di seluruh negara.

Ia melibatkan 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

Menurut Perdana Menteri yang juga Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad, program itu hanya khusus untuk murid yang kurang berkemampuan.



2. Hanya Noor Hisham boleh keluar kenyataan

Sebarang kenyataan rasmi mengenai perkembangan virus influenza hanya boleh dikeluarkan oleh Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan ia bagi mengelakkan tercetusnya perasaan panik daripada masyarakat yang menerima laporan daripada sumber selain Noor Hisham sendiri.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak dilaporkan terkilan apabila dihalang KKM daripada mengeluarkan kenyataan perkembangan terkini penularan influenza di negeri itu.



3. Catu air jika kemarau berterusan di Kedah

Catuan air kepada pengguna di Kedah mungkin dilaksanakan dalam masa terdekat, kerana kemarau di negeri terbabit dijangkakan berlarutan sehingga Mac tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, pihaknya terlebih dahulu akan membuka kesemua telaga tiub yang ada di Kedah, sebelum melaksanakan catuan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad melancarkan operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengatasi masalah bekalan air yang terjejas di sekitar kawasan takungan air di empangan-empangan untuk kegunaan domestik dan pertanian, di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata operasi itu dilakukan di enam kawasan sasaran di Kedah serta Pulau Pinang dan berjaya menghasilkan hujan di hampir kesemua kawasan tumpuan, iaitu Empangan Muda, Pedu dan Teluk Bahang serta kawasan sawah padi di Kuala Nerang dan Kampung Perupok, kecuali sekitar kawasan Empangan Ahning, Kedah.



4. Pengisytiharan Majlis Bandaraya Seremban

Majlis pengisytiharan Majlis Bandaraya Seremban dijadual disempurnakan oleh Tuanku Muhriz hari ini.

Pada 1 Jan lepas, secara rasminya Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah bergabung menjadi satu entiti iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) manakala Yang Dipertua MPS/MPN Datuk Zazali Salehudin dilantik sebagai Datuk Bandar pertama.

MBS dianggotai 24 ahli majlis dengan 10 daripadanya telah mengangkat sumpah jawatan pada 2 Jan lepas.



5. Bola Sepak

Liga Perdana Inggeris
Newcastle 1 - 0 Chelsea
Burnley FC 2 - 1 Leicester City
Liverpool 2 - 0 Manchester United

Bundesliga
Paderborn 1 - 4 Leverkusen

Seria A
Genoa 1 - 3 AS Roma
Juventus 2 - 1 Parma

La Liga
Ath. Bilbao 1 - 1 Celta Vigo
Barcelona 1 - 0 Granada


Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Ahad di sini.