SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. Runtuhan di Taman Desa

Sebahagian struktur kondomunium yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, runtuh dalam satu kejadian petang semalam, mengakibatkan dua terperangkap dalam runtuhan yang bermula dari tingkat enam bangunan itu.

Dua mangsa itu bagaimanapun berjaya diselamatkan dengan mangsa pertama dikeluarkan kira-kira pukul 5.15 petang dan seorang lagi jam 9.30 malam.

Susulan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata siasatan terperinci akan dijalankan di lokasi kejadian melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Katanya, hari ini, beliau akan merujuk kes itu kepada Menteri Wilayah Persekutan Khalid Abdul Samad dan memeriksa sama ada ia telah dijalankan mengikut proses yang betul dan spesifikasi sewajarnya.

Katanya, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan sementara itu, sebarang kerja pembinaan di tempat itu dihentikan serta merta.

2. Koronavirus terkini

Perdana Menteri telah menyatakan solidariti dan sokongan padu Malaysia kepada China dalam mengendalikan epidemik COVID-19 yang sedang berlaku.

Tun Dr Mahathir Mohamad turut berkata, kerajaan Malaysia dilihat berkesan dalam mengawal penularan epidemik tersebut di negara ini.

Pada masa sama, pihak swasta digalak menyediakan mesin pengimbas suhu badan di premis masing-masing terutama di pintu masuk utama bangunan.

Dalam perkembangan berkaitan, polis dilaporkan telah membuka tiga lagi kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan COVID-19 di media sosial, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 26 kes.

3. Asteroid gergasi dijangka 'menghentam' bumi

Bumi dipercayai akan berselisih dengan sebuah asteroid gergasi pagi ini sekitar jam 7.05 pagi, lapor portal Herald.

Saiz asteroid itu difahamkan lebih besar daripada bangunan tertinggi di muka bumi ini iaitu Burj Khalifa.

Namun, menurut NASA, asteroid itu dijangka berselisih dengan bumi dengan jarak sekitar 0.038 mengikut unit astronomi dan pergerakan itu tidak bahaya kerana ia tidak akan menyentuh bumi.

Dan, setakat ini, tiada sebarang kejadian seumpama itu dilaporkan di mana-mana.

5. Sejarah tercipta di LTdL 2020

Pasukan Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) mencipta sejarah apabila menjadi pasukan tempatan pertama muncul juara keseluruhan pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, yang melabuhkan tirai pada Jumaat.

Pelumba pasukan berkenaan, Danilo Celano dari Itali, memenangi jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan.

Sementara itu, pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff turut mencipta sejarah selepas menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi Jersi Merah, sejak edisi pertama LTdL pada 1996.

Susulan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan keyakinan pelumba basikal negara mampu bersaing pada kejohanan utama dunia termasuk Tour de France.

5. Akuan bersumpah mahu Dr Mahathir kekal

Ini pula susulan berita mengenai sekumpulan ahli Parlimen yang dikatakan telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri (PM) hingga tamat penggal.

Walaupun Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agung PKR telah menegaskan dakwaan itu hanya khabar angin, perkara itu tetap jadi bualan.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak terlibat dengan sebarang gerakan atau kegiatan pihak tertentu yang mahukan beliau kekal sebagai PM sehingga tamat penggal.

Belau turut sekali lagi mengulangi janjinya meletakkan jawatan selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada November ini.

Pada masa sama, Pas pula tetap akan meneruskan rancangan membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga habis penggal.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usul berkenaan merupakan satu proses demokrasi yang membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen dari pelbagai parti untuk bersuara.

Sebelum ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan tersebut yang dipercayai bertujuan menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.