SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Pakej Rangsangan Ekonomi diumum hari ini

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April, hari ini memasuki hari ke-10 dan tumpuan pasti tertumpu kepada pengumuman pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19.

Malah pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dijangka memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.



2. PKPD di Simpang Renggam

Kementerian Kesihatan mengesahkan 83 kes positif wabak COVID-19 telah dikesan di daerah Kluang, Johor.

Daripada jumlah itu 61 kes adalah dari Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Dengan jumlah kes yang tinggi, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula dikuatkuasakan di dua kawasan tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik memohon agar semua penduduk bertenang dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk perlu kekal berada dalam rumah.



3. Tiada potongan gaji

Majikan diberi amaran untuk tidak memotong gaji pekerja atau memaksa pekerja mengambil cuti tahunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan sebaliknya mahu majikan membayar gaji penuh kepada pekerja sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, kementerian melalui agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang diperkenalkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

ERP yang dilaksanakan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan bertindak sebagai bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.



4. 3,500 petugas perubatan dipanggil

Kementerian Kesihatan (KKM) memanggil sebanyak 3,500 pakar perubatan dan jururawat untuk membantu pasukan barisan hadapan untuk merawat jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua mereka kini dalam proses menjalani latihan lanjutan (post basic) sebelum ditempatkan di fasiliti hospital yang memerlukan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,400 telahpun dikerahkan dibeberapa buah hospital di negara ini.

Sementara itu, KKM mengesahkan terdapat empat lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 23 kes.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Khamis, terdapat 235 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,031 kes.



5. Solat hajat serentak hari ini

Seluruh umat Islam di negara ini disaran mengadakan solat hajat serentak hari ini selepas solat zuhur untuk kesejahteraan rakyat ketika berdepan wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata solat hajat itu boleh dilakukan di rumah dan tempat masing-masing.

Dalam perkembangan lain, waris dan kenalan individu Islam yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak COVID-19, boleh melakukan solat jenazah ghaib ke atas arwah.

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata solat jenazah ghaib berserta doa merupakan penghormatan terakhir daripada waris dan kenalan yang tidak dapat menatap wajah individu berkenaan.