Kepulangan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada mengerjakan umrah disambut kira-kira 60 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di lapangan terbang sekitar jam 4 petang Jumaat.

Malaysian Insider melaporkan bahawa rata-rata yang hadir adalah bagi memberi sokongan kepada Dr Mahathir yang sebelum ini lantang memperkatakan tentang isu 1MDB.

Turut serta adalah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, dan bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pertubuhan lain yang hadir termasuk dari Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), dan Ikatan NGO Malaysia.

Sebelum ini pada Khamis, satu pesanan khidmat ringkas (SMS) tersebar mengajak orang ramai hadir memberi sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke empat ini.

"Jom sambut negarawan terbilang Tun Mahathir yang kembali dari Mekah bersama Tun Dr Siti ibu mithali negara pada 15 Mei Jumaat, jam 12.30pm di Subang Skypark Terminal," tulis SMS tersebut.

Namun begitu, sebaik tiba Dr Mahathir tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi hanya bersalaman dengan penyokong yang menyambutnya.