Seramai 61 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang memasuki hari ketujuh pada Selasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, sembilan daripada mereka ditahan reman sementara selebihnya dikenakan kompaun.

"Ini adalah penurunan berbanding hari sebelumnya di mana 23 individu ditahan termasuk tiga direman sementara 20 individu lagi diberi kompaun," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Ismail Sabri menjelaskan, antara kesalahan ingkar PKPP yang dilakukan adalah termasuk aktiviti di pub dan kelab malam (44 individu), refleksologi (empat individu) sementara 13 lagi ditahan kerana tidak mematuhi penjarakan sosial.

Beliau memberitahu, Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 69,370 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP pada Selasa berbanding 66,478 pemeriksaan pada hari sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 8,449 operasi sanitasi merangkumi 133 zon setakat Selasa.

"Semalam (Selasa) sebanyak 89 operasi sanitasi dilakukan di 60 zon membabitkan 12 negeri antaranya Sarawak (23 operasi), Sabah dan Melaka masing-masing 11 operasi," katanya.

Sementara itu pada hari sebelumnya katanya, 85 operasi sanitasi dilakukan yang meliputi 55 zon.