Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang ditahan di kediamannya di Denai Alam, Shah Alam kira-kira pukul 10 malam tadi, telah dibebaskan pada pukul 2 pagi tadi.

Perkara itu disahkan Nik Nazmi menerusi Twitter peribadinya sejurus dibebaskan.


Nik Nazmi yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jinjang difahamkan dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh pihak polis dan diberi jaminan polis.

Penahanannya malam tadi disahkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan PKR.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu pada awalnya telah dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi tuitnya kemudiannya mengesahkan Nik Nazmi telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jinjang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata Nik Nazmi ditahan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan haram di hadapan sebuah pusat membeli belah, pada Sabtu.

Susulan itu juga dua individu termasuk aktivis pelajar ditahan polis ketika mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan pusat membeli-belah berkenaan.

Mereka ialah Anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Fariz Musa, dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd Halim.

Kedua-duanya dibebaskan semalam selepas diambil keterangan.