Tindakan seorang lelaki dipercayai 'Ah Long' yang membaling telur ke sebuah kedai makan membawa padah apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di Jalan Setali di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, polis menahan suspek di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 4 petang dan hasil pemeriksaan pihaknya menemui Mesin Penghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di dalam kereta yang bertujuan untuk mengiklankan tawaran pinjaman.

"Suspek ditahan selepas mangsa lelaki berusia 22 tahun itu membuat laporan polis kerana 'Ah Long' itu mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi dan mengugut mangsa pada 2 September lalu.

"Suspek dikatakan mengugut mangsa dengan membaling telur selain menampal salinan kad pengenalan di hadapan kedai makan ayahnya di Jalan Haji Ahmad di sini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Katanya lagi, mangsa dipercayai membuat pinjaman sebanyak RM40,000 sejak sebulan yang lalu dan sudah membayar RM70,000.

"Namun suspek mendakwa mangsa masih ada hutang sebanyak RM10,000. Suspek dikatakan mengenakan kadar faedah antara 15 hingga 20 peratus seminggu kepada mangsa.

"Tujuan suspek melakukan perkara itu adalah sebagai tanda amaran kepada mangsa supaya menyelesaikan pembayaran pinjaman berkenaan dengan segera," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.