Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya manusia biasa yang boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan jika didapati bersalah oleh mahkamah termasuk dalam kes meliwat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, sebagai manusia biasa, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga selama ini tidak pernah kebal di sisi undang-undang.

"Seperti orang lain, Anwar juga boleh meringkuk di dalam penjara jika didapati bersalah oleh mahkamah melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

"Bagaimanapun, sebelum seseorang itu disabit bersalah ia perlu melalui proses perundangan bagi memberi keadilan kepada semua pihak," katanya dalam catatan di blog ‎
umnobahagiancheras.blogspot.com‎.

Oleh sebab itu kata Syed Ali, tuduhan pembangkang kononnya mahkamah di Malaysia berat sebelah dalam mengadili kes liwat Anwar adalah tidak berasas.

"Anggapan itu merupakan tuduhan jahat, hanya yang taksub kepada Anwar sahaja yang menganggap beliau kebal dan tidak boleh disabit dengan sebarang kesalahan.‎

"Anwar sekarang ini berada dalam ketakutan menunggu 10 Februari kerana tarikh itu merupakan keputusan rayuan akhir terhadap kesnya meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

"Kerana itu Anwar terpaksa mengadakan roadshow ‘Rakyat Hakim Negara’ ke seluruh negeri kerana menyedari jangka hayat politiknya bakal ditentukan pada tarikh tersebut," jelasnya.‎

Kata Syed Ali lagi, 'roadshow' yang dilakukan Anwar bertujuan mengemis simpati di samping cuba meyakinkan penyokong PKR bahawa beliau tidak bersalah dalam kes meliwat.

"Seperti biasa, Anwar akan menyalahkan pihak kerajaan khususnya UMNO dan mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik,"tegasnya.‎

Sementara itu, Syed Ali mahu penyokong tegar Anwar tidak bertindak liar pada hari keputusan rayuan terakhir esok.

Tegasnya, sebarang perhimpunan haram atau rusuhan jalanan bertentangan dengan undang-undang negara ini.

"Saya berharap penyokong tegar Anwar tidak bertindak liar dan mengadakan rusuhan di jalanan terhadap apa jua keputusan mahkamah esok.

"Saya juga berharap penyokong Mohd. Saiful menerima sebarang keputusuan dengan hati terbuka dan menghormati proses undang-undang," katanya.

Menurut Syed Ali lagi, Anwar dan penyokongnya harus menghormati sistem perundangan negara ini dan tidak melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Katanya, sama ada Anwar disabit bersalah atau sebaliknya esok akan dibuat secara adil dan saksama tanpa sebarang campur tangan politik.‎

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari untuk keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, enam tahun lepas.