Menteri Alam Sekitar Asean menyambut baik langkah Indonesia untuk menyerahkan dokumen meratifikasikan Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berkuat kuasa, pada 2003.

Menteri berkenaan turut mengucapkan tahniah terhadap komitmen Indonesia untuk mengesahkan sepenuhnya perjanjian jerebu serantau pada mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Alam Sekitar Asean ke-15 dan Persidangan pihak-pihak Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Mesyuarat dua hari bermula 30 Okt itu berlangsung di Vientiane, Laos, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Sekretariat Asean, hari ini.

Parlimen Indonesia mengundi pada 16 Sept lepas untuk meratifikasi perjanjian serantau berkenaan, 12 tahun setelah kerajaan menandatanganinya.

Perjanjian itu dibuat selepas jerebu paling buruk pernah berlaku pada 1997.

Punca pencemaran adalah akibat penebangan, pembersihan dan pembakaran hutan di Indonesia untuk menyediakan tanah bagi aktiviti penanaman, terutamanya kelapa sawit.

Sehingga Jun 2013, sembilan negara anggota Asean lain telah meratifikasi perjanjian itu. Semua negara Asean menandatangani perjanjian itu pada Jun 2002 di Kuala Lumpur.

Dalam mesyuarat itu, menteri berkenaan menyokong Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri sub serantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan untuk berkongsi titik panas yang menyebabkan jerebu rentas sempadan berasaskan kerajaan dengan kerajaan.

Dalam kenyataan itu, menteri-menteri bersetuju bahawa Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) akan terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan tambahan sekiranya berlaku sebarang kejadian jerebu rentas pada masa akan datang.

ASMC juga diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta tindakan mencegah kebakaran yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran jerebu rentas sempadan.

Mereka juga mengalu-alukan dan menghargai inisiatif Thailand untuk membangunkan permohonan Air4Asean mengenai maklumat kualiti udara, termasuk indeks pencemaran di rantau Asean bagi orang ramai, telefon pintar dan tablet.

Aplikasi ini akan akan dilancarkan bulan ini. Mesyuarat seterusnya akan diadakan di Vietnam, tahun depan.