Persempadanan maritim antara negara-negara anggota ASEAN perlu dimuktamadkan dengan segera sebelum kesatuan itu berdepan dengan kuasa besar yang menuntut Laut China Selatan, China.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata antara permasalahan maritim yang gagal diselesaikan termasuk penentuan sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) antara Malaysia dan Indonesia.

“Bagaimana kita nak mendepani seekor ‘raksasa’ yang saya andaikan sebagai China, sebuah kuasa besar - kalau kita tidak boleh mendepani rakan-rakan kita (ASEAN) yang lebih kurang sama saiz. Jika dengan Indonesia, kita tidak berjaya menyelesaikan masalah sempadan maritim EEZ di Selat Melaka, di Ambalat dan di Tanjung Pengelih.

“Jika dengan Singapura, kita masih lagi belum menyelesaikan isu had pelabuhan Johor di Selat Johor, termasuk isu Pedra Branca. Jadi saya rasa kalau kita ingin bergerak ke arah yang betul, kita perlu selesaikan masalah sesama ASEAN dahulu.

“Apabila kita boleh menjadi rukun, dan kita boleh bersatu - sebab ASEAN ini kalau kita bersatu, ia akan menjadi sebuah rantau yang kuat dengan kapasiti yang lebih. Kalau kita bergerak sendiri, saya rasa sampai bila pun dari nenek moyang sampai cucu cicit kita nanti pun, perkara ini tidak akan selesai,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam masa sama, Mohd Hazmi melihat sekiranya tuntutan Laut China Selatan tidak diselesaikan segera, China ‘boleh’ boleh mengatakan bahawa mereka mempunyai kedaulatan ke atas Laut China Selatan setelah meletakkan aset ketenteraan dan mengawal kawasan sembilan garis putus.

Ujarnya, walaupun tuntutan ke atas Laut China Selatan hanya dibuat oleh empat negara anggota ASEAN itu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam, namun ia kekal sebagai masalah serantau yang harus didepani bersama sebagai sebuah kesatuan.

“Ini harus dilihat sebagai masalah serantau kerana ia melibatkan China dan apabila China menuntut kawasan tersebut, kita semua (ASEAN) akan menjadi negara-negara yang bersempadan dengan China yang mungkin kita tidak mahu perkara itu berlaku.

“Jadi ini ini bukan masalah empat negara ASEAN yang mempunyai tuntutan ke atas Laut China Selatan, ia adalah masalah ASEAN secara keseluruhannya. Jadi kita kena bersatu hati dalam perkara itu dan tapi untuk membolehkan perkara ini berlaku kita perlu rukun sesama jiran kita dahulu,” jelasnya.

Menurut Mohd Hazmi, platform ASEAN perlu digunakan sebaiknya dan bukan hanya menjadi sebuah platform retorik yang gagal mencapai memperjuangkan tujuan utama penubuhannya.

“Bagaimana kita (rakyat) ingin mereka (ASEAN) menyelesaikan sebuah masalah yang besar sekiranya kita gagal menyelesaikan masalah yang kecil. Jadi kalau kita bergerak bersendirian, apa yang kita hanya boleh buat adalah duduk diam dan melihat kapal-kapal (perang China) dan kita hanya boleh melaungkan bahawa ini adalah tuntutan kita. Tapi apalah ertinya.

“Apakah maksudnya? Jadi oleh itu ASEAN wujud. Tapi kalau platform ASEAN tidak digunakan secara maksimal bagaimana kita hendak mendepani masalah yang lebih besar,” tegasnya.

Justeru, beliau berharap supaya Malaysia memainkan peranan lebih besar di pentas ASEAN supaya dapat berdepan tuntutan China dengan lebih komprehensif.