Azharuddin letak jawatan Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam

Azharuddin letak jawatan Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam
Azharuddin letak jawatan sebagai Pengerusi CAAM berkuat kuasa 13 Ogos. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azharuddin Abd Rahman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkuat kuasa 14 Ogos.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Azharuddin berkata keputusan itu dibuat susulan Laporan Siasatan Keselamatan MH370 yang diumumkan pada Isnin.

"Dengan rasa dukacita dan selepas memikirkan dan membuat pertimbangan mendalam, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi CAAM berkuat kuasa dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis letak jawatan yang saya serahkan hari ini," katanya. 

Semalam, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Bagi MH370 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia mengeluarkan laporan terbaru pesawat tersebut. 

Laporan itu antara lain menyatakan, Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATSC) gagal mematuhi protokol dalam memantau pesawat MH370 terutama ketika hilang daripada radar, sebelum perkara itu disedari.
Dalam kenyataannya, Azharuddin berkata, sejak empat tahun lepas, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk membantu dalam misi pencarian pesawat malang MH370 yang hilang pada 8 Mac, 2014, semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. 

BACA: Laporan MH370: Kementerian Pengangkutan akan kaji cadangan keselamatan ICAO

BACA: MH370: Kakak lega nama Kapten Zaharie dibersihkan

BACA: MH370: Tiada petunjuk baharu dalam laporan, waris penumpang kecewa

BACA: Kehilangan MH370: Mungkin ada campur tangan pihak ketiga - Pasukan Penyiasat 


"Saya sentiasa bertekad untuk mencari jawapan kepada soalan yang kita semua tunggu dalam kes tragedi malang ini kerana kita perlu beri penjelasan kepada keluarga dan orang tersayang mereka.

"Saya sedih kerana terpaksa pergi dalam keadaan ini.

"Berkhidmat untuk industri ini selama lebih 40 tahun merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya dan saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi baki tempoh perkhidmatan saya.

"Penerbangan telah menjadi sebahagian besar hidup saya sejak kecil dan ia akan kekal begitu sepanjang hayat saya," katanya dalam kenyataan itu.