Bank dan institusi kewangan hari ini menegaskan mereka tidak pernah melantik atau berurusan dengan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman.

Dalam kenyataan bersama Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (AFDIM) hari ini, mereka berkata, orang ramai dan ahli perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perlu berwaspada sindiket penipuan yang semakin berleluasa.

“Modus operandi terkini sindiket penipuan itu termasuk menyamar sebagai pegawai bank dan/atau wakil bank yang berurusan dengan mangsa yang tidak menaruh syak wasangka melalui e-mel, panggilan telefon, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dan/atau platform pesanan sosial seperti WhatsApp atau perkhidmatan pembawa mesej dalam talian yang lain.

“Penipu ini menggunakan helah ingin memudahkan bantuan kewangan dan/atau membantu menyediakan permohonan pinjaman serta mendapatkan pembiayaan yang melibatkan pakej rangsangan dan langkah-langkah bantuan khas seperti Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility, SRF) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dan institusi-institusi kewangan,” menurut kenyataan itu lagi.

Institusi berkenaan berkata, orang ramai dan ahli perniagaan yang ingin mendapatkan pembiayaan juga dinasihati supaya berhubung secara langsung dengan bank atau institusi kewangan untuk membuat permohonan pinjaman bagi mengelakkan daripada ditipu oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab

“Sebagai alternatif, PKS juga boleh mendapatkan pilihan pembiayaan yang sah melalui platform dalam taliam imSME.com.my. Platform ini akan memadankan keperluan pembiayaan pemohon dengan institusi kewangan yang paling sesuai dengan keperluannya,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, mereka berkata, orang ramai juga dinasihati supaya berwaspada terhadap panggilan atau pesanan yang kononnya daripada pegawai bank, pihak polis, jabatan cukai pendapatan, mahkamah atau agensi Kerajaan lain yang meminta maklumat perbankan peribadi.

“Bank-bank dan/atau institusi kewangan tidak sama sekali akan meminta maklumat perbankan peribadi seperti Kod Pengesahan Transaksi (Transaction Authorisation Code, TAC) atau Nombor Pengenalan Peribadi (Personal Identification Number, PIN) atau nama pengguna dalam talian (online username) dan kata laluan.

Mereka berkata, orang ramai juga boleh menghubungi BNMTelelink (1-300-5465), atau persatuan di bawah ini untuk sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung dengan penipuan SRF melalui nombor telefon yang tertera:

1) ABM melalui ABMConnect di talian 1300-88-9980 atau melalui eABMConnect di www.abm.org.my untuk bank perdagangan konvensional.

2) AIBIM di talian 03-2026 8002/13 atau e-mel kepada [email protected] untuk perkhidmatan perbankan Islam.

3) ADFIM di talian 03-2694 9871 atau e-mel kepada [email protected] untuk institusi kewangan pembangunan.